Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

IKLAN

IKLAN

Tuesday, June 30, 2009

Aktiviti

Salam kepada semua.

Pada 11-12 July 2009 (Sabtu dan Ahad) ini akan diadakan program IDT - tahap 1 (Inductive Da'wah Training) untuk mengetahui teknik-teknik bagaimana untuk berhadapan dengan persoalan-persoalan yang dianjurkan oleh pihak non-muslim sekaligus dapat menarik mereka kepada agama Islam, perbandingan agama dan macam-macam lagi topik yang menarik.

Program ini adalah dibawah Perkim dan dikelolakan oleh Brother Lim Jooi Soon.

Program ini akan diadakan selama 2 hari di Masjid Bukit Indah, Ampang bermula dari pukul 8.00 pagi sehingga 5.00 petang.

Makanan akan disediakan sepanjang program ini berjalan, buku-buku yang berkaitan akan diberikan dan boleh bawa pendrive untuk memuat turun slide-slide yang dipaparkan.

Yuran yang dikenakan hanyalah RM120 (2 hari) untuk yang mendaftar awal dan RM150 untuk yang daftar lewat.

Oleh itu kami menjemput semua untuk meraikan program ini bersama-sama. Untuk maklumat lanjut sila hubungi saya sendiri, Suzeini Mohd di talian 017 364 0095 atau Izzah di talian 013 628 9873.

Lokasi Pembinaan Pembangunan


Lot 2359, Kg. Batu Punggul, Mukim Batang Kali, Daerah Ulu Selangor




Hasrat dan Harapan



Hasrat kami adalah untuk mempunyai tempat yang tetap yang mempunyai frasarana pembelajaran, kurikulum dan sukan yang lengkap.
Buat masa ini Darul Quran Al Wildan dijalankan dengan menyewa rumah panjang 5 pintu di Lot 8144 (c), Kg. Sg. Salak, Batu 10 1/2, Jalan Gombak, 53000 Gombak.

Alhamdulillah dengan izin Allah s.w.t. ada hamba-hamba Allah yang ikhlas mengharapkan ganjaran Allah semata-mata telah mewakafkan sebidang tanah kepada kami. Keluasan tanah adalah lebih kurang satu ekar di lot 2359, Kg. Batu Punggul, Mukim Batang Kali, Daerah Ulu Selangor, 44200 Selangor.


Dengan izin Allah s.w.t. diharapkan projek pembangunan ini dapat dimulakan pada tahun ini juga.

Oleh itu satu harapan yang tinggi kepada orang-orang yang baik hati agar dapat bersama-sama menyumbangkan saham Akhirat untuk mengembalikan cahaya Al-Quran pada masyarakat kita yang sudah pasti ada keuntungan iaitu keberkatan pada harta dan kejayaan diakhirat. Juga bersama-sama membantu membina
Darul Quran Al Wildan untuk melahirkan anak-anak yang hafiz dan hafizah yang professional.

Antara bantuan-bantuan yang boleh disalurkan adalah dalam bentuk zakat, sedekah, bahan-bahan mentah, membeli tanah-tanah berdekatan untuk diwakafkan kepada kami, menyumbang didalam pembinaan masjid, asrama, dapur atau para arkitek, jurutera, penghias dalaman, para landskap untuk menyumbang tenaga bersama-sama dalam membina cara yang terbaik supaya pusat ini dalam keadaan yang sempurna dan selesa untuk pembelajaran anak-anak ini dalam mencari keredhaan Allah dan mendapat ganjaran di dunia dan di akhirat, insya-Allah.

Setiap ringgit dan usaha yang tuan-tuan infakkan untuk pembangunan ini mudah-mudahan diterima Allah s.w.t. Dan setiap huruf yang dibacakan dan dihafal oleh pelajar-pelajar mudah-mudahan menjadi saksi di hadapan Allah s.w.t. dan menjadi perisai dari api neraka kelak dan memudahkan kita masuk ke syurga Firdaus. Ameen. Kami mendahului dengan ucapan jazakamullahu khairan kathira. Ribuan terima kasih.

Objektif

  • Memupuk semangat cintakan Al-Quran dan mematuhi Sunnah Rasulullah s.a.w. sebagai petunjuk didalam kehidupan mereka mengikut fahaman tiga kurun terbaik
  • Untuk menggalakkan anak-anak untuk cinta dan takut kepada Allah s.w.t., mempunyai keimanan yang tinggi terhadap Allah s.w.t dan mempraktikkan mrk supaya beribadah hanya kepada Allah s.w.t.
  • Melahirkan anak-anak yang mempunyai asas yang kuat didalam mendalami Al-Quran
  • Mengambil berat terhadap pembangunan dalam pembelajaran, fizikal, kemasyarakatan dan bahasa
  • Menanam cinta terhadap ilmu yang soheh dan seterusnya mempraktikkannya
  • Untuk mentarbiyah ana-anak supaya mempunyai tingkah-laku dan tabiat sebagai seorang muslim yang sebenar

Wednesday, June 24, 2009

Pusat Menghafal Al Quran Untuk Kanak-Kanak Lelaki Dan Perempuan (anak yatim, anak orang asli, mualaf, fakir miskin dan yang boleh menerima zakat)


Sekapur Sirih

Pendidikan Islam tidak ada tolak bandingnya terutama pada anak-anak yang sedang membesar. Pendidikan yang baik bukan sahaja akan menjadi tabiatnya tetapi mereka juga akan tahu bahawa adalah wajib baginya untuk mematuhi arahan-arahan syariah. Anak-anak merupakan kurniaan Allah swt yang berharga dan menjadi tanggungjawab kita untuk menjaganya dengan baik dengan memberikan dan menunaikan hak-hak mereka. Hak-hak mereka adalah supaya diberikan pendidikan yang sempurna iaitu yang diterapkan dengan nilai-nilai murni dan dibekalkan dengan nilai-nilai yang disyariatkan oleh agama.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah saw bersabda,
"Tidaklah kanak-kanak itu dilahirkan melainkan diatas fitrah (semulajadi - Islam). Maka bapanya lah yang akan menjadikan mereka Yahudi, Nasrani atau Majusi . . ." Hadis Soheh. Diriwayatkan oleh Muslim didalam kitab Mukhtasar Muslim no. 1803 (Kitab Soheh Al-Jaami' As-Sagheer oleh Sheikh Nasiruddin Al-Albani no. 5784). Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab ibu-bapa untuk tidak mengabaikan mereka sehingga membiarkan orang-orang bukan Islam datang dan menyesatkan mereka.

Dan kita semua, iaitu ibu-bapa, guru-guru dan masyarakat semuanya bertanggungjawab didepan Allah swt didalam mendidik anak-anak. Jika mereka menjadi seorang muslim yang bertakwa, mereka akan mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat, tetapi jika sebaliknya, anak-anak akan menderita dan ibu-bapa akan kecewa.

Sepertimana yang terdapat didalam hadis Rasulullah saw dari Ibn Umar r.hum bahawa baginda bersabda,
"Semua kamu adalah penjaga dan kamu semua bertanggungjawab terhadap tanggungan kamu. Pemimpin adalah penjaga dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya dan lelaki adalah penjaga kepada keluarganya dan dia bertanggungjawab apa yang dibawahnya dan perempuan adalah penjaga didalam rumah suaminya dan dia bertanggungjawab ke atas apa yang dijaganya dan khadam itu penjaga harta tuannya dan dia bertanggungjawab apa yang dijaganya dan lelaki itu penjaga kepada harta ayahnya dan dia bertanggungjawab dengan apa yang dijaganya maka kamu semua adalah penjaga dan kamu semua akan dipersoalkan dengan apa yang dijaga." Hadis Soheh. Diriwayatkan oleh Ahmad, Al-Bukhari dan Muslim, Abu Daud dan At-Tirmizi didalam kitab Soheh Al-Jaami' As-Sagheer no. 4569.

Anak-anak kita, pada usia muda ini sangat cerdik dan penuh semangat. Oleh itu perlunya pendedahan yang betul dan tepat kepada mereka supaya mereka menjadi insan yang cemerlang didunia dan diakhirat kelak. Sepeti kata pepatah melayu
'melentur buluh biar dari rebungnya' kerana anak-anak kecil ini mudah dibentuk dengan nilai-nilai hidup yang murni. Adalah menjadi tanggungjawab ibu dan bapa untuk menerapkan aqidah-aqidah yang soheh dan mantap kepada anak-anak supaya mereka menghayati Islam demi melahirkan generasi insan yang muttaqin, insya-Allah.

Dengan menghafal Al-Quran dapat melatih otak anak-anak untuk bekerja dengan betul iaitu dengan menggunakan kedua-dua belah otak iaitu otak kanan dan otak kiri. Allah swt telah menjanjikan kemuliaan pada orang-orang yang menghafal Al-Quran. Didalam hadis dari Ali ra bahawa Rasulullah saw bersabda,
"Ahli Quran adalah ahli Allah yang terpilih." Hadis Soheh (Kitab Soheh Al-Jaami' As-Sagheer oleh Sheikh Nasiruddin Al-Albani no.2528)

Oleh itu anak-anak ini akan dimuliakan bukan sahaja diakhirat tetapi juga didunia ini. Dan tidak ada kekhuatiran kerana sesungguhnya sudah tentu pertolongan Allah swt akan datang kepada mereka, insya-Allah.

Sejarah silam telah membuktikan kejayaan generasi awal bermula dengan hafazan Al-Quran sebelum tempoh umur 10 tahun. Sebagai contoh antaranya imam besar seperti Imam Shafie, Imam Bukhari dan Imam Muslim, Ibnu Sina, Al-Khuzaimah dan ramai lagi. Mereka ini bukan sahaja mahir didalam Al-Quran dan hadis Rasulullah saw tetapi juga mahir didalam ilmu-ilmu dunia seperti perubatan, matematik, sains dan teknologi yang mana telah diakui oleh sejarah dan disaksikan oleh dunia. Maka anak-anak ini bukan sahaja menjadi professional hafiz dan hafizah tetapi juga professional terhadap apa jua bidang yang diceburi kelak.